Kehidupan di alam universiti ini sememangnya sangat sangat berbeza berbanding dengan kehidupan kita sebelum ini. Jika dahulunya sebelum kita masuk ke alam university, tiap tiap hari kita balik ke rumah dari persekolahan, pastinya ada ibu bapa kita menunggu di rumah, memerhati dan mengawasi kegiatan aktiviti kita.
Namun begitu, di alam universiti ini, majoritinya bagi para pelajar, ibu bapa dan penjaga tentunya berada jauh dari pandangan kita apatah lagi mengawasi kita. Tambahan lagi dengan umur kita yang meningkat dewasa, kita kini sedang dalam perjalanan menempuhi peringkat akhir remaja dan memasuki peringkat awal dewasa.
Segala macam perkara yang kita lakukan kini adalah atas hak setiap individu. Kita sudah mampu untuk berfikiran matang sendiri dan hala tuju hidup kita kini semuanya berada di atas tangan kita. Segala perkara yang berlaku di sekeliling kita ini adalah atas tanggungjawab diri kita sendiri. Bak kata cogan kata Celcom, “the power is in your hand”. Memang benar pepatah ini, tak dapat dinafikan.
Niat sememangnya memainkan peranan yang besar di dalam perjalan hidup kita. Termasuk juga dalam keadaan masuk ke Universiti. Apakah sebenarnya niat kita? Sekarang kita berada di tahun pertama, pejam celik sekejap sahaja masa ini berlalu, dan sedar sedar kita, sudah tiba kita di penghujung alam university. Adakah kita sudah mencapai matlamat kita?
Dinasihati kepada para pelajar, ingatilah ibu bapa kita di rumah, begitu besar pengorbanan yang telah mereka lakukan dalam memberi kita peluang sebegini. Jika dahulunya ibu bapa kita bertungkus lumus untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan, kini kita boleh mendapatnya hanya dengan meminta daripada ibu bapa kita. Tidakkah kita bersyukur. Ingatilah atas usaha apa kita sudah sampai di sini. Semua itu hasil daripada sokongan kedua ibu bapa kita.
Namun begitu, sekali lagi diingatkan, perjuangan ini belum selesai, masih banyak perlu dikecapi. Dan atas nama bahwasanya kita ini sudah dewasa, masa depan kita hanya mampu diubah dan ditentukan ke mana ia pergi dengan usaha kita. Andai pada hari ini kita hanya asyik dengan teman kita, kekasih kita, malah, permainan video kita, fikirkan lah di mana akan kesudahannya.
Setkan matlamat, betulkan niat, dan usahakanlah, tidak ada apa yang mustahil, kerana segalanya adalah di atas tangan kita. Kita punya kuasa untuk mengubahnya.



